Thursday, 19 November 2015

NOORAZLI BIN ZAKARIA.
NO, MATRIK : 236170.



PERCUTIAN KE KOTA BHARU KELANTAN.

GELANGGANG SENI.
TAMAN TENGKU ANIS.
PASAR SITI KHADIJAH.
PANTAI CAHAYA BULAN.
PASAR MALAM WAKAF CHE YEH.

Tempat menarik di Kota Bharu Kelantan.

Perancangan yang fleksible dan teliti sebelum bercuti adalah sangat penting. Ia seharusnya dapat membantu mengawal bajet percutian anda agar kewangan terancang dengan baik.  Semua orang dari pelbagai lapisan dan taraf eknonomi boleh bercuti di Kelantan. Apa yang penting anda seharusnya dapat membuat perancangan yang baik, kerana perancangan yang baik itulah dapat menjadikan percutian anda sangat menyeronokkan disamping aktiviti-aktiviti yang dapat dibuat kenang-kenangan.

Shopping adalah agenda wajib dan menyeronokkan jika datang ke Kelantan. Semestinya kerana terdapat pelbagai pilihan barangan dengan harga yang amat berpatutan dan menjimatkan. Bagi mencapai kepuasan yang optimum ketika membeli belah di sini, anda hendaklah terlebih dahulu mengenalpasti apakah barangan yang ingin dibeli samada pakaian, mainan kanak-kanak, cenderamata atau juga makanan. Membeli-belah di Kelantan secara purata tidak memerlukan anda memakai kad kredit. Shopping menggunakan wang tunai adalah lebih baik. Tidak perlu risau kerana semua kemudahan ATM ada di setiap kawasan.

Aktiviti yang biasa dilakukan jika bercuti adalah berkunjung ke tempat-tempat menarik. Pastikan anak anda dapat merasainya juga. Selain itu, tempat peranginan seperti pantai menjadi agenda wajib jika datang ke Kelantan. Di Kelantan khususnya dalam dearah kota bharu saja pengunjung dalam memenuhkan jadual percutian dengan segala aktiviti yang menyeronokan iaitu melawati tempat-tempat menarik pada sebelah siang hari mahu pun pada malam hari.


1)      Gelangang Seni.


Gelanggang Seni terletak di Jalan Sultan Mahmud iaitu kira-kira 2 km dari pusat bandar Kota Bharu. Mengamalkan konsep kesenian berpusat, ia menjadi daya tarikan kepada para pelancong dan kepada anak-anak Kelantan yang cintakan seni warisan bangsa untuk berkampung dan mempersembahkan persembahan masing-masing. Antara persembahan yang masih digemari dan kerap diadakan ialah Dikir Barat, Rebana Ubi, Permainan Gasing, dan Wau Bulan. Persembahan ini kebiasaannya diadakan pada hari Rabu setiap minggu secara bergilir-gilir.






Sebahagian aktiviti di Gelanggang Seni.






2)      Taman Tengku Anis.


Taman Perbandaran Tengku Anis terletak lebih kurang 5km dari Bandar Kota Bharu menghala ke Pengkalan Chepa. Ia adalah antara tempat rekreasi yang serba moden dilengkapi kemudahan dan prasarana terkini untuk memberikan keselesaan kepada para pengunjung.
Selain menyediakan trek untuk berjoging Taman Perbandaran Tengku Anis turut menyediakan taman tema taman rusa, pondok -pondok rehat dan pelbagai kemudahan yang sesuai dengan fungsinya sebagai tempat berekreasi pelbagai-guna. Kawasan sekitarnya yang bersih membolehkan keluarga yang berkunjung bersantai sambil menjamah juadah.




Aktiviti bersama keluarga dengan penuh keriangan di Taman Tengku Anis.




3)      Pasar Siti Khadijah.


Pasar Besar Siti Khadijah adalah ikon pelancongan dan simbol membeli-belah terutamanya pakaian dan barangan dapur bagi kebanyakan pelancong dan penduduk setempat.Peniaganya yang dimonopoli oleh kaum hawa menjadikan pasar ini sebagai tarikan pelancongan yang unik. Pasar ini sangat meriah di hari minggu dan cuti sekolah. Penduduk sekitar Kota Bharu juga sering ke sini untuk membeli barangan asas dan keperluan dapur.Jika menginap di sekitar bandar Kota Bharu, pasar ini wajib dilawati. Malah, anda boleh berjalan kaki sahaja jika menginap di hotel-hotel yang berdekatan.

Pasar Siti Khadijah dibuka setiap hari seawal jam 7 pagi hingga 6 petang. Kemudahan ATM seperti BSN dan Maybank terdapat berdekatan dengan pasar ini. Pelbagai barangan yang boleh anda dapati di pasar ini dan boleh dikatakan ia adalah serba lengkap, pasar yang mempunyai ruang yang luas iaitu tiga tingkat di mana di setiap tingkap adalah khusus untuk menjual barangan yang tertentu.

Di bahagian bawah pasar, antara yang dijual adalah barangan basah, kuih muih, sayuran, beras, buah-buahan, lauk dan keperluan asas dapur. Barangan di tingkat bawah biasanya dibeli oleh penduduk setempat. Bagi pengunjung yang belum pernah merasai beras keluaran Thailand, boleh dapatkan di sini. Beras jenama Burung Serindit daripada Thailand antara beras yang paling sedap dan tersohor yang sentiasa menjadi beras pilihan penduduk Kelantan. Malah jauh menandingi beras keluaran tempatan. Sebelum anda membeli beras ini, dinasihatkan menyuruh pekedai menimbangnya semula kerana bagi mengelakkan tersilap timbangan berat (kg) walaupun harga sama. Beras serindit wajib dibeli sebelum pulang.

Tingkat 1 banyak menjual pelbagai makanan kering seperti keropok segera, dodol, serunding daging, kerepek, pelbagai jenis keropok, makanan segera, pelbagai kuih muih, alatan memasak, barangan plastik, rempas ratus, ikan kering dan bahan dapur. Keropok yang sedap dan terlaris pada masa ini adalah keropok cap ikan mas, keropok cap ikan parang, keropok sira cap juara dan keropok segera cap dua tambang. Kualiti keropok juga berbeza antara satu sama lain.

Dari  segi harga, semua pengeluar meletakkan harga yang sama. Yang berbeza hanya rasa sahaja. Makanan kering yang ingin dibeli sangat dicadangkan untuk dibeli secara borong kerana anda akan mendapat harga yang lebih murah.

Pastikan makanan kering yang dibeli tampak segar dan masih baru supaya rasanya tidak terjejas.Selain itu, anda juga boleh mencuba kuih muih Kelantan pelbagai jenis yang dijual seperti akok, tepung pelita, puteri mandi, badak berendam, tahi itik dan banyak lagi. Mesti cuba!! Kalau tidak kempunan pulak jadinya. Untuk membeli barang makanan seperti keropok, kuih muih sangat disarankan dibeli disini. Beli secara borong untuk rakan sepejabat, saudara mara dan sahabat handai. Anda akan mendapat harga yang istimewa jika dibeli secara borong dan jangan lupa untuk tawar menawar.
Manakala tingkat 2 pula terdapatnya barangan batik, songket, tudung bawal, kain ela, kain sarung, kain pelikat, kain sembahyang, blouse, T-shirt,  kraftangan, beg, kasut, barang tembaga, peralatan dapur, bunga, pasu, barang kaca, barang kemas, alat solek, pewarna tikar, barang sulaman tudung dan permainan kanak-kanak. Di sini antara syurga membeli belah bagi kaum wanita. Dari segi harganya pula bagi, ia tidaklah murah. Malah ada sesetengah kedai yang menjual dengan harga yang agak mahal juga.

Kelebihan di Pasar Siti Khadijah adalah terdapat pelbagai pilihan jenis tudung dan kain, lebih banyak dari tempat lain. Anda bolehlah survey terlebih dahulu harga-harga yang ditawarkan di sini. Jika hendak membeli di tingkat 2 ini, disarankan mesti pandai mencari kedai yang benar-benar dapat memberi harga yang istimewa.

Jika penat membeli belah dan ronda-ronda pasar, boleh ke tingkat satu dimana terdapat medan selera yang menjual pelbagai jenis masakan serta juadah dan kuih muih negeri Kelantan yang istimewa. Anda tidak perlu bersusah payah  mengintai kedai makan yang lain. Mencuba hidangan makanan di sini sudah cukup membuatkan anda puas.




Pasar Siti Khadijah.



4)      Pantai Cahaya Bulan.


Pantai yang dahulunya dikenali sebagai Pantai Cinta Berahi (PCB) ini adalah pantai yang paling digemari kerana ia merupakan antara tempat perkelahan yang paling dekat dengan bandar Kota Bharu, lebih kurang 10km sahaja. Pantai ini semestinya paling popular bagi penduduk sekitar Kota Bharu serta pelancong luar kerana ianya paling mudah diakses.

Uniknya pantai ini adalah mempunyai kawasan pesisir pantai yang panjang. Kemudahan yang selesa seperti tandas awam dan surau juga disediakan kepada para pengunjung. Berdekatan pantai ini terdapatnya PCB Resort dan Perdana Resort. Bagi mereka yang tinggal di resort tersebut, jangan lepaskan peluang menikmati keindahan matahari terbenam pada waktu senja.
Sepanjang perjalanan ke Pantai Cahaya Bulan, anda akan bertemu dengan banyak gerai yang menjual jagung rebus Jika anda belum pernah menjejakkan kaki ke pantai ini, amatlah di alu - alukan anda datang ke sini jika menginap di sekitar Kota Bharu.




Pantai Cahaya Bulan PCB.



5)      Pasar malam Wakaf Che Yeh.


Wakaf Che Yeh adalah sebuah pasar malam terbuka yang terletak kira-kira 4km di luar bandar Kota Bharu. Ia Mempunyai keluasan suku ekar, merupakan tempat untuk membeli makanan ringan tempatan buah-buahan dan sayur-sayuran segar serta makanan laut. Terdapat juga deretan warung peniaga yang menjual aneka pakaian lelaki dan juga pakaian wanita.
Wakaf Che Yeh beroperasi sepanjang masa dengan fungsi yang berbeza-beza ia merupakan pasar borong di waktu pagi pasar basah diwaktu siang dan berubah menjadi pasar malam pula setelah matahari terbenam. Anda boleh saksikanlah situasi tawar-menawar dan teriakan peniaga-peniaga mempromosikan barangan jualan mereka sembil berbual mesra sesama sendiri.




Kemeriahan pasar malam Wakaf Che Yeh.




Untuk memngunjungi tempat-tempat menarik di Kota Bharu, Kelantan. Seharusnya anda merancang terlebih dahulu jadual harian anda semasa berada di Kota Bharu supaya ada berkesempatan untuk berkunjung ke semua tempat yang sudah tentu akan menjadi kenangan indah kepada anda dan seisi keluarga.




HIBURAN PERMAINAN REBANA UBI.

No comments:

Post a Comment